Portal Rasmi Agensi Nuklear Malaysia

Pengenalan

Dalam sektor pertanian dan sains hayat, Agensi Nuklear Malaysia (Nuclear Malaysia) menjalankan penyelidikan  dan pembangunan (R&D) berteraskan teknologi nuklear untuk tujuan pembaikbakaan tanaman, pengurusan agroekosistem untuk produktiviti tinggi hasilan pertanian dengan input yang optimum serta pembangunan bioproduk dan bioproses yang ditambah nilai dengan teknologi pemprosesan sinaran. Nuklear Malaysia juga meneliti kesan sinaran terhadap sistem biologi di peringkat sel dan juga flora dan fauna. 

Fokus terkini bagi pembaikbakaan tanaman ialah melalui kaedah mutagenesis sinaran ke atas tanaman padi, pisang, nanas, kenaf dan stevia dengan ciri-ciri yang diperlukan oleh industri dan juga yang mendepani perubahan iklim. Projek mempelbagaikan varieti tanaman hiasan seperti orkid, kekwa, bunga raya serta tanaman hiasan jenis dedaun juga dilaksanakan. Kaedah pengeluaran tisu tanaman skala besar menggunakan beberapa jenis sistem bioreaktor juga diperkenalkan. Pengurusan agroekosistem memfokus kepada kaedah pengurusan kesuburan tanah, pengurusan air dan nutrien yang mana data asas diperolehi menggunakan teknik penyurihan isotop stabil dan radioaktif. Aktiviti penambahbaikan produk dan proses menggunakan teknologi sinaran diteruskan, melibatkan bioproduk dan biosebatian daripada herba, cendawan, mikroorganisma dan biopolimer. Nuklear Malaysia juga membangunkan teknik pengesanan makanan tersinar di samping membangunkan pangkalan data maklumat geografi dalam usaha mengenalpasti kebolehkesanan tempat asal sesuatu sumber makanan menggunakan teknik isotop penyurih stabil dan analisis nuklear.

Projek-projek pertanian dan sains hayat Nuklear Malaysia mendapat pembiayaan dari dana MOSTI seperti ScienceFund, TechnoFund dan untuk komuniti seperti Community Innovation Fund (CIF) dan MOSTI Social Innovation (MSI), dana Fundamental Research Grant Scheme (FRGS) daripada MOHE serta pelbagai bentuk sokongan daripada Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA); kebanyakan projek dijalankan bersama jabatan dan agensi kerajaan, institut penyelidikan dan institusi pengajian tinggi tempatan.

 


Untuk maklumat lanjut, sila layari SISPA.