Portal Rasmi Agensi Nuklear Malaysia

Kemudahan Penyinaran Tervulkan Susu Getah Asli


RAYMINTEX merupakan sebuah loji perintis yang menjalankan pemvulkanan susu getah asli menggunakan sinaran gama. Loji ini telah ditauliahkan pada Mac 1996. Ia berupaya menghasilkan susu getah asli tervulkan menggunakan sinaran gama (RVNRL) sebanyak 6000 tan dalam setahun, sekiranya dimuatkan dengan punca radioaktif kobalt-60 sehingga 1 MCi, yang dapat dibekalkan kepada industri pembuatan produk celupan susu getah untuk tujuan promosi, pengkomersilan dan pemindahan teknologi.

RVNRL yang dihasilkan oleh RAYMINTEX mempunyai sifat-sifat fizikal dan mekanikal yang dapat memenuhi keperluan/spesifikasi kebanyakan produk celupan susu getah asli. Susu getah asli perlu divulkan sebelum dapat digunakan oleh industri pembuat produk celupan susu getah seperti sarung tangan, belon, sarung jari, puting bayi, pelapik gigi dan lain-lain. Berikut merupakan kelebihan/kebaikan RVNRL:

  • Susu getah mempunyai kestabilan yang tinggi dan tempoh penyimpanan yang lebih lama,
  • Modulus yang rendah dapat menghasilkan produk yang lebih lembut dan selesa,
  • Bebas dari nitrosamina dan rendah nitrosatables (bahan karsinogenik),
  • Bebas dari alahan yang disebabkan oleh bahan pemecut,
  • Kandungan abu yang lebih rendah dan tidak menghasilkan gas pembakaran asid yang rendah apabila dibakar,
  • Tiada masalah pewarnaan/pencemaran tembaga (copper staining), produk getah sesuai digunakan oleh industri elektronik,
  • Mesra alam, kilang-kilang pembuat produk getah tidak menghasilkan efluen yang mempunyai kandungan zink yang tinggi.
Selain menghasilkan RVNRL pada skala loji perintis, RAYMINTEX turut menjalankan aktiviti penyelidikan dengan tujuan mempertingkat mutu RVNRL supaya dapat diperluaskan penggunaannya di dalam pelbagai industri pembuatan produk celupan susu getah. RAYMINTEX bersedia membantu dan bekerjasama dengan industri produk getah dalam membangunkan produk daripada RVNRL. RAYMINTEX telah berjaya memperoleh pensijilan ISO 9001:2000 pada bulan November 2003, sebagai usaha untuk memastikan RVNRL dan perkhidmatan yang dibekalkan oleh loji ini sentiasa memenuhi kehendak pelanggan.



Untuk maklumat lanjut, sila layari SISPA.