• PORTAL RASMI AGENSI NUKLEAR MALAYSIA

img

18 MAC 2021- Majlis Penyerahan Benih Padi Nuklear NMR152 di Sawah Skim Paya Laka, Rompin, Pahang yang merupakan projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) Nuklear Malaysia telah diadakan dengan jayanya yang melibatkan sumbangan benih padi nuklear NMR152 dan baja Oligokitosan kepada lebih 20 penanam padi di sekitar kawasan tersebut yang terjejas oleh banjir beberapa bulan lalu.

Program CSR sebegini akan sentiasa dilaksanakan atas dasar untuk membantu dan memberi sumbangan kepakaran penyelidikan yang ada di Nuklear Malaysia untuk manfaat dan kegunaan rakyat. Adalah diharapkan dengan sumbangan ini, ianya memberi sinar dan semangat kepada para petani di samping Nuklear Malaysia berupaya menjalin perhubungan berterusan dengan pelbagai pihak.

Sumbangan telah disampaikan oleh YBrs. Ts. Dr. Siti A'iasah binti Hashim, Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia.

Turut hadir bersama adalah YB Dato’ Sri Haji Mohd Johari bin Hussain - ADUN Tioman, YBrs. Dr. Abdul Rahim bin Harun, Timbalan Ketua Pengarah (Teknikal) Nuklear Malaysia, YBrs. Puan Nor Edasuriati binti Ibrahim – Timbalan Pengarah Pertanian Negeri Pahang (Pengembangan) dan YBrs. Encik Mohd Faizul bin Miran - Pengarah IADA Rompin.

img

23 FEB 2021, Bangi– Majlis Clock Out pada petang itu dihadiri oleh barisan Pengurusan Tertinggi, pengarah bahagian dan beberapa anggota Nuklear Malaysia bagi meraikan hari terakhir buat YBrs. Dr. Abdul Muin bin Abdul Rahman yang bakal bersara.

Setelah berkhidmat hampir 37 tahun bersama Nuklear Malaysia, pastinya suasana petang itu agak menyentuh perasaan beliau. Namun, sebelum meninggalkan kawasan, beliau tidak lupa untuk mengucapkan terima kasih kepada semua anggota Nuklear Malaysia yang telah memberikan kerjasama dan sokongan kepada dalam usaha menjalankan tugasan dan aktiviti yang dirancang.

Beliau turut mendoakan agar Nuklear Malaysia terus cemerlang dan terbilang di persada nasional dengan kerjasama semua pihak di semua peringkat mengikut peranan, tugas dan tanggungjawab masing-masing.

img

23 FEB 2021, Bangi- Menjadi harapan Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia, YBrs.Dr Siti A’aisah Hashim untuk memastikan bahawa setiap bahagian dapat melaksanakan semua aktiviti yang dirancang mengikut masa yang ditetapkan. Selain itu, tindakan susulan dan penambahbaikan perlu diambil sebagai langkah bagi memastikan setiap program adalah relevan dan memastikan sumbangan agensi dapat dirasai oleh masyarakat, industri dan negara.

KP turut menyebut dalam ucapan pembukaan beliau bahawa pelaksanaan aktiviti secara tersusun akan dapat mencapai semua KPI yang telah digariskan oleh MOSTI sekali gus memberi peluang kepada agensi untuk lebih menumpukan kepada aspek penambahbaikan kepada program sedia ada.

Majlis secara atas talian anjuran daripada Bahagian Khidmat Pengurusan ini disertai lebih 300 orang anggota Nuklear Malaysia turut meraikan Majlis Persaraan YBrs. Dr. Abdul Muin bin Abdul Rahman, Timbalan Ketua Pengarah, Program Perkhidmatan Teknikal yang bersara pada 24 Februari 2021. Beliau yang sebelum ini turut berkongsi pengalaman dalam Program NG2G turut menzahirkan perasaan terharu dan berkongsi pengalaman sepanjang berkhidmat 37 tahun bersama Agensi Nuklear Malaysia.

img

19 FEB 2021, Bangi -  Sesi NG2G bersama YBrs. Dr. Abdul Muin bin Abdul Rahman, Timbalan Ketua Pengarah Program PPT telah diadakan secara atas talian untuk berkongsi pengalaman dan kejayaan beliau sepanjang berkhidmat di Nuklear Malaysia. Medium atas talian menggunakan aplikasi zoom ini dapat menjemput lebih ramai peserta untuk menyertainya bagi sama-sama mendengar perkongsian dan amanat beliau khususnya pengalaman beliau yang banyak meneroka ilmu teknologi dan kejuruteraan di luar negara serta hadir ke persidangan penyelidikan antarabangsa untuk membuat pembentangan mengenai teknologi nuklear.

Di akhir perkongsian, beliau tidak lupa untuk menasihatkan kepada semua anggota terutamanya para penyelidik untuk lebih fokus kepada penyelidikan sedia ada dan memperkasakan semula agar lebih sistematik serta dapat dijayakan dengan baik. Beliau turut bersetuju di sebalik hikmah pandemik COVID-19 ini, Nuklear Malaysia akan lebih maju ke hadapan dengan menghasilkan lebih banyak inovasi yang bakal menyumbang kepada kemajuan teknologi nuklear pada masa akan datang.

img

11 FEB 2021, Bangi - Merupakan perintis di bangunan-bangunan kerajaan di bawah inisiatif MOSTI. Projek ini dilaksanakan oleh Syarikat GSPARX Sdn. Bhd. iaitu anak syarikat TNB Renewable Sdn.Bhd. yang telah dipilih untuk pembekalan tenaga boleh baharu melalui pelaburan, rekabentuk, pemasangan, pengoperasian dan penyelenggaraan Sistem Solar Photovoltaic (Solar PV).

Pemasangan Sistem Solar PV ini adalah di parkir kenderaan di mana panel solar menjadi bumbung parkir. Selepas pentauliahan Sistem Solar PV yang dijangka siap dalam bulan April ini, Nuklear Malaysia akan dapat menikmati penjimatan kos bil elektrik bulanan dengan penggunaan tarif elektrik tenaga baharu yang lebih rendah daripada tarif biasa sepanjang tempoh kontrak selama 21 tahun.

img

11 FEB 2021, Bangi - Tinjauan dua projek yang sedang dalam pembinaan di Agensi Nuklear Malaysia iaitu Projek Pembinaan Pagar Keselamatan Kawasan Bersekuriti Tinggi Agensi Nuklear Malaysia di Kompleks Jalan Dengkil dan Projek Solar Leasing di Kompleks Utama Bangi. Turut hadir ke lawatan ini adalah YBrs. Dr. Abdul Rahim bin Harun (TKPT).

Pelaksanaan projek ini adalah bagi memastikan kawasan sasaran penting negara ini dikawalselia mengikut Akta Kawasan dan Tempat Larangan 1959. Selain itu, tahap keselamatan fasiliti dan infrastruktur loji-loji penyinaran Nuklear Agensi dapat ditingkatkan serta menjamin keselamatan aset-aset penyelidikan dan peralatan Nuklear ini daripada diceroboh.

img

10 FEB 2021 - Lawatan Kerja ke PROJEK PEMBINAAN PENSTORAN PUNCA RADIOAKTIF TERKEDAP TERPAKAI (DSRS) di Blok 33, Agensi Nuklear Malaysia. Projek DSRS ini dibina untuk dijadikan sebagai tempat penyimpanan sementara bahan radioaktif paras rendah dan sederhana yang dijadualkan akan siap dalam tempoh 50 minggu bermula pada 26 Ogos 2020 yang lalu dengan keluasan sehingga 88 meter persegi/0.022 ekar. Turut hadir ke lawatan ini adalah YBrs. Dr. Abdul Muin bin Abdul Rahman (TKPPPT) dan YBrs. Dr. Abdul Rahim bin Harun (TKPT).

img

4 FEBRUARI 2021 – Lawatan kerja ke Tapak Projek Pembangunan Loji Perintis Pengeluaran Benih Padi Asas dan Pembangunan SOP Penghasilan Benih Padi Nuklear Malaysia NM152 di Sekinchan, Selangor. Turut hadir adalah YBrs. Dr. Abdul Muin bin Abdul Rahman (TKPPPT) dan YBrs. Dr. Abdul Rahim bin Harun (TKPT), Dr Azhar bin Mohamad, Pengarah BAB.

img

Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Siti A'iasah Hashim telah menyempurnakan Sesi Flag Off Misi Bantuan Banjir Nuklear Malaysia dengan kerjasama Kelab Sukan dan Kebajikan Nuklear Malaysia pada 2 Februari 2021. Program ini adalah salah satu tanggungjawab korporat sosial bagi meringankan beban mangsa banjir yang melanda negeri-negeri di pantai timur Semenanjung Malaysia.

Atas inisiatif MOSTI dan Jabatan/Agensi di bawahnya, misi ini menyasarkan bantuan khusus kepada 48 buah keluarga yang terjejas di Kampung Paloh Hinai, Pekan, Pahang.

Sumbangan daripada Nuklear Malaysia adalah berupa peralatan dapur gas dan juga berbentuk wang tunai.

Nuklear Malaysia turut menyumbangkan benih padi NMR152 hasil penyelidikan pegawai penyelidik Nuklear Malaysia bagi membantu meringankan beban para petani yang terjejas akibat bencana banjir di kawasan Rompin, Pahang.

img

21 JAN 2021, Bangi -  YBrs. Dr Siti A'iasah Hashim telah mempengerusikan Bengkel Pengukuran Pencapaian  Sasaran Kerja Tahunan (SKT) / Petunjuk Prestasi Utama (KPI) 2020 dan Penetapan SKT/KPI 2021 secara atas talian.

Bengkel selama dua hari ini adalah untuk menilai  pencapaian SKT / KPI sepanjang tahun 2020 dan seterusnya membincangkan penetapan SKT / KPI agensi untuk tahun 2021 ini.

 

Dr. Siti A'iasah dalam ucapannya berharap agar setiap anggota Nuklear Malaysia sentiasa bersedia mengadaptasi norma baharu dalam pelaksanaan tugas serta dapat menilai situasi dalam membuat keputusan seiring dengan perancangan yang telah dirancang.

 


 

img

Bangi, 16 Jan 2021 – Agensi Nuklear Malaysia mengucapkan sekalung tahniah kepada Dr. Siti A’iasah Hashim atas pelantikan sebagai penasihat Program Sarjana Keselamatan Sinaran dan Nuklear, Program Sains Nuklear  Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Lantikan ini adalah satu penghargaan kepada beliau  yang mempunyai pengetahuan dan kepakaran luas dalam bidang penyelidikan dan sains nuklear. Nuklear Malaysia mengucapkan selamat maju jaya dalam menjalankan amanah yang diberikan.