
PADI NUKLEAR TERIMA KUNJUNGAN KSU MOSTI
SEKINCHAN, 15 FEB 2024: Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin Hassim, Ketua Setiausaha, Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi (MOSTI) telah mengadakan lawatan kerja ke Loji Pengeluaran Benih Padi Asas dan Tapak penyelidikan Padi NMR 152. Turut hadir bersama ialah Puan Ruziah Shafei, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan & Pembudayaan Sains) MOSTI, En. Zulhasmi Jamaludin, Setiausaha Bahagian Pembangunan MOSTI dan Ts. Dr. Azhar Mohamad, Pengarah Bahagian Agroteknologi & Biosains (BAB), Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia).
Variati NMR 152 yang telah dilancarkan pada 19 November 2021 adalah inisiatif Nuklear Malaysia dalam menghasilkan baka baharu tanaman yang mempunyai daya tahan tinggi terhadap cuaca ekstrem, tahan penyakit, memberi hasil tuaian yang tinggi kepada petani serta membantu mengurangkan kos penggunaan baja dan racun.
Benih baharu padi Malaysia ini telah menjadi bukti kejayaan kerajaan melalui MOSTI dan Nuklear Malaysia yang telah mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa menerusi pengiktirafan daripada International Atomic Energy Agency danFood and Agriculture Organisation sempena Persidangan Agong ke-65 di Vienna, Austria pada September 2021. Bukan itu sahaja, NMR 152 ini juga turut merangkul Anugerah Keseluruhan (MCY Supreme Award) dan Anugerah Usahawan Penyelidik (Research Entrepreneur Award) sempena Anugerah Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY) anjuran MOSTI.