post-image

MALAYSIA-AUSTRALIA KOMITED PERKUKUH KERJASAMA CTBT

MELBOURNE, 4 MAC 2024 Malaysia dan Australiamemeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi Pengaturan Praktikal antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Australia untuk kerjasama dalam Sains dan Teknologi dan Aplikasi untuk Pelaksanaan Perjanjian Pengharaman Ujian Nuklear Komprehensif (CTBT). KetuaPengarah Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) dan Ketua Pengarah Australian Safeguards and Non-Proliferation Office (ASNO) masing-masing bertukar dokumen selepas selesai Mesyuarat Pemimpin Tahunan Malaysia-Australia di Government House, Victoria yang disaksikan oleh Perdana Menteri masing-masing, iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Anthony Albanese.

Menerusi mesyuarat itu, kedua-dua Ketua Pengarah membincangkan komitmen bersama bagi meningkatkan kapasiti Malaysia dalam aktiviti berkaitan CTBT khususnya dalam bidang radionuklid, analisis seismik, analisis bentuk gelombang dan pemeriksaan tapak. Kerjasama itu bukan sahaja tertumpu kepada pelaksanaan CTBT tetapi juga bertujuan memaksimumkan manfaat CTBT untuk tujuan ekonomi negara seperti amaran tsunami, pemantauan alam sekitar, penyelidikan perubahan iklim serta memastikan keselamatan marin dan penerbangan. Selain itu, Malaysia berharap dapat memperluaskan hubungan kerjasama ini kepada negara anggota ASEAN yang lain melalui forum Australia-ASEAN dengan menonjolkan potensi sumbangan CTBT kepada keselamatan, kestabilan dan keamanan serantau.

Kerajaan Malaysia juga menzahirkan penghargaan di atas sokongan dan bantuan Australia terhadap pembangunan kapasiti manusia dalam radionuklid dan analisis seismik khususnya bantuan pakar daripada Geosains Australia sepanjang tahun 2023.