
NUKLEAR MALAYSIA KOMITED JALIN KERJASAMA DENGAN PEMEGANG TARUH
KUBANG PASU, 5 MAC 2024- Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) komited untuk terus menjalin kerjasama dengan pihak industri bagi memanfaatkan kepakaran seterusnya mengarusperdanakan penggunaan teknologi nuklear untuk rakyat. Justeru, dalam satu sesi runding cara bersama pihak Syarikat Taavekun Sdn. Bhd. yang telah diadakan di Bukit Kayu Hitam, Nuklear Malaysia telah memberikan khidmat rundingan serta teknikal berkaitan teknologi nuklear. Runding cara ini memfokuskan ujian laluan elektrik dan air yang bertujuan untuk pemetaan lokasi kabel dan paip serta khidmat resistivity test bagi mengenalpasti kedudukan lokasi potensi bagi air bawah tanah.
Bagi tujuan tersebut, delegasi Nuklear Malaysia telah diwakili oleh Pengarah Bahagian Pengkomersilan Teknologi - Dr. Rasif Mohd Zain, Pengarah Bahagian Teknologi Sisa dan Alam Sekitar - Dr. Rahman bin Yaccup, Pengurus Pusat Khidmat MSI-NDT – En. Nor Azreen Masenwat, dan Ketua Unit Pemasaran – En. Mohamed Zaffar Ali Mohamed Amiroudine,
Syarikat Taaveekun Sdn. Bhd. merupakan syarikat pemilikan bumiputera yang membekalkan baja, produk organik serta kimia ke pasaran tempatan dan antarabangsa. Pertemuan ini dijangka dapat meningkatkan aplikasi teknologi nuklear yang boleh dimanfaatkan penggunaannya di seluruh Malaysia. Nuklear Untuk Rakyat (N.U.R).