
NUKLEAR MALAYSIA & PSN INTAI PELUANG PERHEBAT PROMOSI NUKLEAR KEPADA MASYARAKAT
KUALA LUMPUR, 24 MEI 2024: Dr. Rosli bin Darmawan, Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia telah mengetuai lawatan kerja ke Pusat Sains Negara (PSN) bertempat di Bukit Kiara, Kuala Lumpur. Ketibaan delegasi daripada Agensi Nuklear Malaysia telah disambut baik oleh En. Mohammad Fuad bin Rahman, Pengarah Pusat Sains Negara serta barisan pengurusan PSN.
Delegasi daripada Agensi Nuklear Malaysia turut disertai oleh Dr. Muhammad Rawi bin Mohamed Zin, Timbalan Ketua Pengarah Program Penyelidikan & Pembangunan Teknologi, Dr. Ishak bin Mansor, Timbalan Ketua Pengarah, Program Perkhidmatan Teknikal serta pegawai daripada Bahagian Pengurusan Maklumat (BPM).
Pada sesi ini juga, satu pembentangan ringkas telah disampaikan oleh Pn. Norzehan Ngadiron, Pegawai Penerbitan daripada BPM Nuklear Malaysia berkaitan dengan program promosi dan jangkauan luar yang telah dilaksanakan oleh Nuklear Malaysia.
Menerusi sesi perjumpaan ini juga, Nuklear Malaysia turut mengorak peluang kerjasama bersama PSN dalam meningkatkan aktiviti penyebaran awam berkaitan Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) 2030, yang telah dilancarkan oleh YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi & Inovasi (MOSTI) pada 20 September 2023.
Perbincangan ini dijangka akan meningkatkan kerjasama dua hala demi manfaat bersama disamping dapat memberikan nilai tambah kepada kedua-dua agensi serta masyarakat awam.