post-image

NUKLEAR MALAYSIA GALAK KOLABORASI STRATEGIK BERSAMA NEGARA ANGGOTA IAEA

BANGI, 24 Mei 2024: Ketua Setiausaha, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), YBhg. Dato' Ts. Dr. Hj. Aminuddin bin Hassim, telah merasmikan 18th Post Graduate Educational Course (PGEC-18) on Radiation Protection & Safety of Radiation Sources yang telah diadakan di Bangi Avenue Convention Centre (BACC), Bangi, Selangor.

Kursus PGEC-18 ini telah menghimpunkan seramai 25 peserta dari 17 negara yang terdiri daripada kumpulan profesional, penyelidik dan penggubal dasar dari rantau Asia Pasifik. Menerusi pendekatan ini, peserta dapat memahami dan memperkukuhkan perlaksanaan piawaian keselamatan antarabangsa melalui pembangunan modal insan dalam bidang keselamatan sinaran.

 

Malah pada 27 September 2022, Malaysia telah menandatangani Practical Arrangement (PA) di Vienna, Austria bersama Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dalam bidang pendidikan dan latihan bagi bidang radiasi, pengangkutan dan keselamatan sisa radioaktif. Lanjutan perjanjian ini, Nuklear Malaysia telah berperanan sebagai pusat latihan serantau bagi rantau Asia Pasifik.

Justeru, bagi mengarusperdanakan penggunaan teknologi nuklear secara aman di rantau Asia Pasifik, Nuklear Malaysia mengalu-alukan kolaborasi strategik antara negara-negara anggota IAEA. Dengan demikian, dapat memberi impak positif kepada pertumbuhan sosioekonomi negara.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi), YBhg. Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman bin Hassan, barisan pengurusan atasan Nuklear Malaysia serta wakil-wakil kedutaan negara peserta yang terlibat dalam program ini.