post-image

BENGKEL PELAKSANAAN INISIATIF DASAR TEKNOLOGI NUKLEAR NEGARA (DTNN) 2030

BANGI, 2 JULAI 2024: Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) telah menganjurkan Bengkel Pelaksanaan Insiatif Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) 2030 pada 2 hingga 3 Julai 2024 bertempat di Dewan Tun Dr Ismail (DTI). Bengkel ini  telah dirasmikan oleh YBrs. Dr. Muhammad Rawi bin Mohamed Zin, Timbalan Ketua Pengarah (Program Penyelidikan dan Pembangunan Teknologi), Nuklear Malaysia.

Seramai 84 orang peserta yang terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Teras Strategik (JKTS) dan Jawatankuasa Sektor Utama (JKSU) DTNN 2030 dari pelbagai kementerian, agensi kerajaan, syarikat milik kerajaan, universiti awam dan swasta, serta persatuan telah menyertai bengkel ini.

Matlamat utama penganjuran bengkel ini adalah untuk melihat dan menilai pencapaian pelaksanaan kesemua sasaran utama, strategi dan program flagship yang telah digariskan di bawah Pelan Tindakan DTNN 2030. Bengkel selama dua hari ini juga turut membincangkan isu-isu berbangkit terhadap keberkesanan pelaksanaan pelan tindakan dasar ini. Hasil laporan pelaksanaan dan cadangan penambahbaikan dari bengkel ini kemudiannya akan diangkat dan dibincangkan bersama dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Teknologi Nuklear (JTTN) dan Jawatankuasa Pemandu Teknologi Nuklear (JPTN) yang dijangka akan diadakan pada bulan September dan Oktober 2024.