post-image

MAKMAL NUKLEAR MALAYSIA TERIMA PENGIKTIRAFAN MAKMAL BERSTATUS BIONEXUS PARTNER

KUALA LUMPUR, 17 JULAI 2024- Dato' Haji Mohammad Yusof Apdal, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah merasmikan National Bioeconomy Showcase 2024 (NBiOSHOWCASE 2024) yang telah berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) di bawah Makmal Kumpulan Farmaseutikal, Bahagian Teknologi Perubatan (BTP) telah diberi pengiktirafan sebagai salah satu makmal berstatus Bionexus Partner. pengiktirafan ini telah disampaikan oleh Timbalan Menteri MOSTI kepada Dr. Rosli bin Darmawan, Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia.

 

Untuk rekod, sejumlah 38 makmal telah dianugerahkan dengan status BioNexus Partners Laboratories (BNP Labs) bagi memperkasakan keusahawanan dan keupayaan inovasi dalam industri bioteknologi dan berasaskan bio di Malaysia. BNP Labs merupakan salah satu program di bawah Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation) yang menyokong keperluan penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (R,D,C&I) negara serta merapatkan jurang antara pemain industri dengan komuniti R&D.

BNP Labs juga dilihat sebagai platform yang menyokong penjanaan pendapatan oleh syarikat-syarikat bioteknologi termasuk syarikat berstatus BioNexus, syarikat Bio-based Accelerator (BBA) dan projek berimpak tinggi yang setakat ini telah menyumbang RM37.5 bilion kepada KDNK Malaysia.

Timbalan Menteri MOSTI dalam ucapannya berkata, "BNP Labs berupaya untuk menangani cabaran-cabaran R,D,C&I di Malaysia di mana 66 peratus projek R,D,C&I masih bergantung kepada peruntukan kerajaan. Beliau berkata kepakaran, fasiliti, alatan, latihan, akreditasi dan perkhidmatan teknikal R,D,C&I yang ditawarkan oleh BNP Labs menjadikan usahawan dan syarikat PKS bioteknologi dan berasaskan bio lebih berdaya saing dan inovatif melalui bimbingan penyelidikan produk baharu, penambahbaikan produk sedia ada serta analisis dan pengkomersialan produk".