PENGARUH MEDIA PENTING DALAM MEMPERKENALKAN STIE
BANGI, 31 JULAI 2024- Pengamal media memainkan peranan yang penting dalam menyampaikan maklumat, membina persepsi dan tanggapan serta membentuk sikap masyarakat. Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) hari ini telah menerima kunjungan daripada pengamal media Siakap Keli Sdn. Bhd yang diketuai oleh YBrs. Encik Mohd Firdaus bin Ishak, Pengurus Besar Siakap Keli Sdn. Bhd.
Kunjungan tersebut telah disambut mesra oleh Dr. Rosli Darmawan, Ketua Pengarah Nuklear Malaysia dan pihak pengurusan. Antara objektif utama kunjungan ini adalah berkaitan hasrat Siakap Keli untuk mengenali lebih lanjut fungsi dan peranan Nuklear Malaysia selain memberikan pendedahan kepada pihak media yang meliputi kumpulan penulisan, produksi dan kreatif.
Ketua Pengarah Nuklear Malaysia turut menzahirkan ucapan penghargaan dan terima kasihatas sokongan serta kerjasama yang telah diberikan oleh Siakap Keli dalam mempromosikan Nuklear Malaysia menerusi liputan berita di platform media yang telah diberikan selama ini. Secara tidak langsung, ini akan membuka mata masyarakat berkaitan dengan kepentingan teknologi nuklear dalam kehidupan seharian.
Kerjasama strategik kedua-dua pihak ini dapat mengubah persepsi masyarakat terhadap nuklear ke arah penerimagunaan teknologi nuklear yang lebih positif dalam menyokong Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) 2030. Padamasa yang sama, pihak media turut berpeluang melawat Reaktor Triga Puspati (RTP) yang merupakan satu-satunya kemudahan reaktor penyelidikan nuklear di Malaysia.
Turut hadir sama Dr. Muhammad Rawi Mohamed Zin, Timbalan Ketua Pengarah, Program Penyelidikan dan Pembangunan Teknologi, Ts. Dr. Ishak Mansor, Timbalan Ketua Pengarah, Program Perkhidmatan Teknikal, Dr. Shukri Mohd, Pengarah Bahagian Sokongan Teknikal, pengarah-pengarah bahagian serta pegawai-pegawai dari Agensi Nuklear Malaysia.
Nuklear Malaysia sentiasa komited dalam memberikan tumpuan pada projek penyelidikan yang berpotensi untuk dikomersialkan dan memberikan impak kepada pembangunan negara. Peranan Nuklear Malaysia secara keseluruhannya telah disejajarkan dengan misi Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi (MOSTI) iaitu menerajui sains, teknologi, inovasi dan ekonomi (STIE) dalam menangani isu dan menghadapi cabaran negara untuk kesejahteraan masyarakat dan pembangunan mampan.