INTERNATIONAL NUCLEAR SCIENCE OLYMPIAD (INSO) 2024
Seramai empat orang pelajar yang mewakili Malaysia telah melakarkan kejayaan cemerlang dengan membawa pulang dua pingat perak dan dua pingat gangsa dalam pertandingan International Nuclear Science Olympiad (INSO) 2024 yang berlangsung di New Clark City, Filipina pada 31 Julai 2024 hingga 7 Ogos 2024. Tujuan olimpiad ini diadakan adalah bagi meningkatkan pengetahuan, pemahaman dan minat terhadap sains dan teknologi nuklear dikalangan pelajar sekolah menengah.
Kumpulan peserta ini diketuai oleh Dr. Mark Dennis Usang (Agensi Nuklear Malaysia) dan Lim Teng Sheng (Program Sains Nuklear, Fakulti Sains dan Teknologi UKM). Peserta yang terlibat adalah Lim Yee Jian dan Isaac Toh Thiam Tek (Kolej Matrikulasi Kejuruteraan Kedah), Saratt A/L Suthagar (Program ASASIpintar UKM) dan Arell Yazid Fazrin bin Mohd Fauzi (Sekolah Menengah Sains Tuanku Jaafar). Mereka juga merupakan finalis akhir dalam pemilihan peserta peringkat kebangsaan melalui Malaysia Nuclear Science Olympiad (MyNSO) 2024 yang dianjurkan oleh Pusat PERMATA@Pintar Negara, Universiti Kebangsaan Malaysia. Pertandingan di peringkat kebangsaan ini telah berjaya dianjurkan oleh Pusat PERMATA@Pintar Negara, Universiti Kebangsaan Malaysia dengan kerjasama pelbagai pihak iaitu Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian (BSKK) Kementerian Pendidikan Malaysia serta tiga agensi di bawah Kementerian Sains dan Teknologi (MOSTI) iaitu Agensi Nuklear Malaysia, Jabatan Tenaga Atom dan Pusat Sains Negara. Penganjuran dan penyertaan kali pertama ini telah mendapat sokongan dan tajaan sepenuhnya daripada pihak Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA). Malaysia juga akan menjadi penganjur bersama IAEA bagi penganjuran INSO kali ke-dua pada tahun 2025.
Tahniah Malaysia!