• PORTAL RASMI AGENSI NUKLEAR MALAYSIA

img

KUALA LUMPUR, 17 Julai 2024: YB Dato' Haji Mohammad Yusof Apdal, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah merasmikan Majlis Penyerahan Sijil BNP Labs di National Bioeconomy Showcase 2024 (NBiOSHOWCASE 2024) yang telah berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) di bawah Makmal Kumpulan Farmaseutikal, Bahagian Teknologi Perubatan (BTP) telah diberikan pengiktirafan sebagai salah satu makmal berstatus Bionexus Partner bagi menerima pengiktirafan tersebut. Sijil pengiktirafan ini telah disampaikan oleh YB Dato' Haji Mohammad Yusof Apdal, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) kepada YBrs. Dr. Rosli bin Darmawan, Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia.

 

Pada acara ini, sebanyak 38 makmal telah dianugerahkan dengan status BioNexus Partners Laboratories (BNP Labs) ke arah memperkasakan keusahawanan dan keupayaan inovasi dalam industri bioteknologi dan berasaskan bio di Malaysia. BNP Labs merupakan salah satu program di bawah Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation) yang menyokong keperluan penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (R,D,C&I) negara serta merapatkan jurang antara pemain industri dengan komuniti R&D.

BNP Labs juga dilihat sebagai platform yang menyokong penjanaan pendapatan oleh syarikat-syarikat bioteknologi termasuk syarikat berstatus BioNexus, syarikat Bio-based Accelerator (BBA) dan projek berimpak tinggi yang setakat ini telah menyumbang pendapatan sebanyak RM37.5 bilion kepada KDNK Malaysia.

 

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, dalam ucapannya berkata "BNP Labs berupaya untuk menangani cabaran-cabaran R,D,C&I di Malaysia di mana 66 peratus projek R,D,C&I masih bergantung kepada peruntukan kerajaan. Beliau berkata kepakaran, fasiliti, alatan, latihan, akreditasi dan perkhidmatan teknikal R,D,C&I yang ditawarkan oleh BNP Labs menjadikan usahawan dan syarikat PKS bioteknologi dan berasaskan bio lebih berdaya saing dan inovatif melalui bimbingan penyelidikan produk baharu, penambahbaikan produk sedia ada serta analisis dan pengkomersialan produk".

 

img

BANGI, 2 JULAI 2024: Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) telah menganjurkan Bengkel Pelaksanaan Insiatif Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) 2030 pada 2 hingga 3 Julai 2024 bertempat di Dewan Tun Dr Ismail (DTI). Bengkel ini  telah dirasmikan oleh YBrs. Dr. Muhammad Rawi bin Mohamed Zin, Timbalan Ketua Pengarah (Program Penyelidikan dan Pembangunan Teknologi), Nuklear Malaysia.

Seramai 84 orang peserta yang terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Teras Strategik (JKTS) dan Jawatankuasa Sektor Utama (JKSU) DTNN 2030 dari pelbagai kementerian, agensi kerajaan, syarikat milik kerajaan, universiti awam dan swasta, serta persatuan telah menyertai bengkel ini.

Matlamat utama penganjuran bengkel ini adalah untuk melihat dan menilai pencapaian pelaksanaan kesemua sasaran utama, strategi dan program flagship yang telah digariskan di bawah Pelan Tindakan DTNN 2030. Bengkel selama dua hari ini juga turut membincangkan isu-isu berbangkit terhadap keberkesanan pelaksanaan pelan tindakan dasar ini. Hasil laporan pelaksanaan dan cadangan penambahbaikan dari bengkel ini kemudiannya akan diangkat dan dibincangkan bersama dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Teknologi Nuklear (JTTN) dan Jawatankuasa Pemandu Teknologi Nuklear (JPTN) yang dijangka akan diadakan pada bulan September dan Oktober 2024.

 

img

KUALA LUMPUR, 24 MEI 2024: Dr. Rosli bin Darmawan, Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia telah mengetuai lawatan kerja ke Pusat Sains Negara (PSN) bertempat di Bukit Kiara, Kuala Lumpur. Ketibaan delegasi daripada Agensi Nuklear Malaysia telah disambut baik oleh En. Mohammad Fuad bin Rahman, Pengarah Pusat Sains Negara serta barisan pengurusan PSN.

Delegasi daripada Agensi Nuklear Malaysia turut disertai oleh Dr. Muhammad Rawi bin Mohamed Zin, Timbalan Ketua Pengarah Program Penyelidikan & Pembangunan Teknologi, Dr. Ishak bin Mansor, Timbalan Ketua Pengarah, Program Perkhidmatan Teknikal serta pegawai daripada Bahagian Pengurusan Maklumat (BPM).

 

 

Pada sesi ini juga, satu pembentangan ringkas telah disampaikan oleh Pn. Norzehan Ngadiron, Pegawai Penerbitan daripada BPM Nuklear Malaysia berkaitan dengan program promosi dan jangkauan luar yang telah dilaksanakan oleh Nuklear Malaysia.

 

Menerusi sesi perjumpaan ini juga, Nuklear Malaysia turut mengorak peluang kerjasama bersama PSN dalam meningkatkan aktiviti penyebaran awam berkaitan Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) 2030, yang telah dilancarkan oleh YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi & Inovasi (MOSTI) pada 20 September 2023.

Perbincangan ini dijangka akan meningkatkan kerjasama dua hala demi manfaat bersama disamping dapat memberikan nilai tambah kepada kedua-dua agensi serta masyarakat awam.

 

img

BANGI, 24 Mei 2024: Ketua Setiausaha, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), YBhg. Dato' Ts. Dr. Hj. Aminuddin bin Hassim, telah merasmikan 18th Post Graduate Educational Course (PGEC-18) on Radiation Protection & Safety of Radiation Sources yang telah diadakan di Bangi Avenue Convention Centre (BACC), Bangi, Selangor.

Kursus PGEC-18 ini telah menghimpunkan seramai 25 peserta dari 17 negara yang terdiri daripada kumpulan profesional, penyelidik dan penggubal dasar dari rantau Asia Pasifik. Menerusi pendekatan ini, peserta dapat memahami dan memperkukuhkan perlaksanaan piawaian keselamatan antarabangsa melalui pembangunan modal insan dalam bidang keselamatan sinaran.

 

Malah pada 27 September 2022, Malaysia telah menandatangani Practical Arrangement (PA) di Vienna, Austria bersama Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dalam bidang pendidikan dan latihan bagi bidang radiasi, pengangkutan dan keselamatan sisa radioaktif. Lanjutan perjanjian ini, Nuklear Malaysia telah berperanan sebagai pusat latihan serantau bagi rantau Asia Pasifik.

Justeru, bagi mengarusperdanakan penggunaan teknologi nuklear secara aman di rantau Asia Pasifik, Nuklear Malaysia mengalu-alukan kolaborasi strategik antara negara-negara anggota IAEA. Dengan demikian, dapat memberi impak positif kepada pertumbuhan sosioekonomi negara.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi), YBhg. Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman bin Hassan, barisan pengurusan atasan Nuklear Malaysia serta wakil-wakil kedutaan negara peserta yang terlibat dalam program ini.

 

img

BANGI, 9 MEI 2024 : Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia ) telah menerima kunjungan hormat daripada delegasi Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) Kuala Kangsar, Perak. Sesi interaksi dan perbincangan antara dua pihak ini telah diadakan di Bilik Majlis, Agensi Nuklear Malaysia.

 

Delegasi daripada USAS yang telah diketuai oleh Prof. Dato' Dr. Wan Sabri bin Wan Yusof, Naib Censelor, disambut baik oleh Dr. Rosli bin Darmawan, Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia serta barisan pengurusan atasan.

Pada sesi ini, pelbagai potensi kerjasama telah dibincangkan seperti pemindahan teknologi serta projek penanaman varieti padi NMR-152 di kawasan tanah terbiar di kawasan Kota Lama Kanan, Kuala Kangsar. NMR 152 merupakan satu varieti padi yang telah dibangunkan melalui kaedah biak baka mutasi aruhan ke atas benih padi MR 219 menggunakan sinar gama.

Kerjasama ini dijangkadapat memberikan impak positif serta membantu meningkatkan ekonomi serta pendapatan para pesawah terutamanya di Kuala Kangsar.

img

Agensi Nuklear Malaysia telah menyertai Program MADANI Rakyat 2024 Zon Utara yang telah berlangsung pada 3 – 5 Mei 2024 di Tapak Pesta Sungai Nibong, Pulau Pinang.

Pada program kali ini, Nuklear Malaysia telah berpeluang  mempromosikan produk serta perkhidmatan yang ditawarkan bagi meningkatkan pemahaman dan kesedaran umum terhadap Dasar Teknologi Nuklear Negara untuk meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat.

 

Kehadiran Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Dato' Seri Utama Ahmad Fuzi bin Haji Abdul Razak, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang bersama isteri, Yang Amat Berbahagia Toh Puan Dato' Seri Utama Khadijah binti Mohd Nor telah memeriahkan lagi suasana di reruai Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI). Turut hadir ialah YB Dato' Dr. Mohammad bin Abdul Hamid, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang dan YBhg. Dato' Ts. Dr. Hj. Aminuddin bin Hassim, Ketua Setiausaha, Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi.
  

Program Madani Rakyat ini akan diteruskan ke Zon Timur di Pahang diikuti Zon Selatan di Johor seterusnya Sarawak dan berakhir di Sabah.

 

 

 

img

PUTRAJAYA , 6 MAC 2024: Seramai 16 orang pesara dan bakal pesara serta 62 orang penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) 2023 telah diraikan dalam Majlis Apresiasi Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi (MOSTI) 2024 yang diadakan di Dewan Seri Siantan, Presint 3, Putrajaya.

 

Anugerah dan sijil penghargaan telah disampaikan oleh YB Chang Lih Kang, Menteri MOSTI dan disaksikan Dato' Ts. Dr. Hj. Aminuddin Hassim, Ketua Setiausaha MOSTI dan Dr. Rosli Darmawan, Ketua Pengarah Nuklear Malaysia.

 

 

Tahniah dan syabas diucapkan semua penerima APC Tahun 2023 atas prestasi cemerlang yang ditonjolkan. Kepada pesara dan bakal pesara, setinggi-tinggi ucapan penghargaan dan jutaan terima kasih atas sumbangan dan khidmat bakti yang telah dicurahkan sepanjang perkhidmatan. Semoga kenangan menyertai perkhidmatan awam menjadi memori terindah. Terima kasih dan selamat bersara.

Cantik berseri bunga mempelam,
Dambaan kasih Putri tersayang,
Anugerah diberi, tangan disalam,
Lambang megah warga NUKLEAR cemerlang

 

 

img

KUBANG PASU, 5 MAC 2024- Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) komited untuk terus menjalin kerjasama dengan pihak industri bagi memanfaatkan kepakaran seterusnya mengarusperdanakan penggunaan teknologi nuklear untuk rakyat. Justeru, dalam satu sesi runding cara bersama pihak Syarikat Taavekun Sdn. Bhd. yang telah diadakan di Bukit Kayu Hitam, Nuklear Malaysia telah memberikan khidmat rundingan serta teknikal berkaitan teknologi nuklear. Runding cara ini memfokuskan ujian laluan elektrik dan air yang bertujuan untuk pemetaan lokasi kabel dan paip serta khidmat resistivity test bagi mengenalpasti kedudukan lokasi potensi bagi air bawah tanah.

Bagi tujuan tersebut, delegasi Nuklear Malaysia telah diwakili oleh Pengarah Bahagian Pengkomersilan Teknologi - Dr. Rasif Mohd Zain, Pengarah Bahagian Teknologi Sisa dan Alam Sekitar - Dr. Rahman bin Yaccup, Pengurus Pusat Khidmat MSI-NDT – En. Nor Azreen Masenwat, dan Ketua Unit Pemasaran – En. Mohamed Zaffar Ali Mohamed Amiroudine,

Syarikat Taaveekun Sdn. Bhd. merupakan syarikat pemilikan bumiputera yang membekalkan baja, produk organik serta kimia ke pasaran tempatan dan antarabangsa. Pertemuan ini dijangka dapat meningkatkan aplikasi teknologi nuklear yang boleh dimanfaatkan penggunaannya di seluruh Malaysia. Nuklear Untuk Rakyat (N.U.R).

img

MELBOURNE, 4 MAC 2024 Malaysia dan Australiamemeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi Pengaturan Praktikal antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Australia untuk kerjasama dalam Sains dan Teknologi dan Aplikasi untuk Pelaksanaan Perjanjian Pengharaman Ujian Nuklear Komprehensif (CTBT). KetuaPengarah Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) dan Ketua Pengarah Australian Safeguards and Non-Proliferation Office (ASNO) masing-masing bertukar dokumen selepas selesai Mesyuarat Pemimpin Tahunan Malaysia-Australia di Government House, Victoria yang disaksikan oleh Perdana Menteri masing-masing, iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Anthony Albanese.

Menerusi mesyuarat itu, kedua-dua Ketua Pengarah membincangkan komitmen bersama bagi meningkatkan kapasiti Malaysia dalam aktiviti berkaitan CTBT khususnya dalam bidang radionuklid, analisis seismik, analisis bentuk gelombang dan pemeriksaan tapak. Kerjasama itu bukan sahaja tertumpu kepada pelaksanaan CTBT tetapi juga bertujuan memaksimumkan manfaat CTBT untuk tujuan ekonomi negara seperti amaran tsunami, pemantauan alam sekitar, penyelidikan perubahan iklim serta memastikan keselamatan marin dan penerbangan. Selain itu, Malaysia berharap dapat memperluaskan hubungan kerjasama ini kepada negara anggota ASEAN yang lain melalui forum Australia-ASEAN dengan menonjolkan potensi sumbangan CTBT kepada keselamatan, kestabilan dan keamanan serantau.

Kerajaan Malaysia juga menzahirkan penghargaan di atas sokongan dan bantuan Australia terhadap pembangunan kapasiti manusia dalam radionuklid dan analisis seismik khususnya bantuan pakar daripada Geosains Australia sepanjang tahun 2023.

 

img

BANGI, 4 MAC 2024- Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin Hassim merangkap Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah mengadakan lawatan turun padang ke projek pembangunan Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) di Kompleks Bangi.

Ketibaan beliau disambut mesra oleh Dr. Muhammad Rawi Mohamed Zin, Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan & Pembangunan Teknologi), Ts. Dr. Ishak Mansor, Timbalan Ketua Pengarah (Program Perkhidmatan Teknikal) serta barisan Pengarah Nuklear Malaysia.                   

Lawatan turun padang ini adalah bertujuan untuk memantau pelaksanaan dan kemajuan dua projek Pembangunan Nuklear Malaysia iaitu projek Menaiktaraf Makmal Penyelidikan dan Pembangunan Perubatan Nuklear serta projek Menaiktaraf Pusat Kecemerlangan Metrologi Sinaran Kebangsaan. Semasa sesi lawatan ini, Datuk KSU telah dibawa melawat ke Fasiliti Pengeluaran Kit Radiofarmaseutikal yang bertempat di Blok 23.

Turut hadir En. Ooli Gunalan A/L Manickam, Setiausaha Bahagian Kanan Pengurusan, En. Zulhasmi Jamaludin, Setiausaha Bahagian Pembangunan dan En. Fauzi Mohd Said, Timbalan Setiausaha Bahagian Teknologi Strategik dan Aplikasi.

Sebagai tambahan, projek Menaiktaraf Makmal Penyelidikan dan Pembangunan Perubatan Nuklear adalah bertujuan untuk membangunkan keupayaan R&D bagi pengeluaran kit radiofarmaseutikal dalam negara dan pemindahan teknologi kepada pasaran untuk kegunaan perubatan nuklear. Projek ini juga adalah untuk memastikan fasiliti kajian pra klinikal dan makmal R&D radiofarmaseutikal mengikut pematuhan Akta 304. Manakala projek Menaiktaraf Pusat Kecemerlangan Metrologi Sinaran Kebangsaan adalah bertujuan untuk memperkasakan aktiviti R&D Nuklear Malaysia dalam bidang metrologi sinaran, fizik perubatan serta perlindungan sinaran dan Sinaran Tidak Mengion (NIR).

 

img

SEKINCHAN, 15 FEB 2024: Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin Hassim, Ketua Setiausaha, Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi (MOSTI) telah mengadakan lawatan kerja ke Loji Pengeluaran Benih Padi Asas dan Tapak penyelidikan Padi NMR 152. Turut hadir bersama ialah Puan Ruziah Shafei, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan & Pembudayaan Sains) MOSTI, En. Zulhasmi Jamaludin, Setiausaha Bahagian Pembangunan MOSTI dan Ts. Dr. Azhar Mohamad, Pengarah Bahagian Agroteknologi & Biosains (BAB), Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia).

Variati NMR 152 yang telah dilancarkan pada 19 November 2021 adalah inisiatif Nuklear Malaysia dalam menghasilkan baka baharu tanaman yang mempunyai daya tahan tinggi terhadap cuaca ekstrem, tahan penyakit, memberi hasil tuaian yang tinggi kepada petani serta membantu mengurangkan kos penggunaan baja dan racun.

Benih baharu padi Malaysia ini telah menjadi bukti kejayaan kerajaan melalui MOSTI dan Nuklear Malaysia yang telah mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa menerusi pengiktirafan daripada International Atomic Energy Agency danFood and Agriculture Organisation sempena Persidangan Agong ke-65 di Vienna, Austria pada September 2021. Bukan itu sahaja, NMR 152 ini juga turut merangkul Anugerah Keseluruhan (MCY Supreme Award) dan Anugerah Usahawan Penyelidik (Research Entrepreneur Award) sempena Anugerah Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY) anjuran MOSTI.

img

BANGI, 31 JAN 2024 : Nuklear Malaysia dan Syarikat Minda Wangsa Agro telah menjalinkan kerjasama dalam aspek aplikasi dan pengembangan teknologi kompos menggunakan fungus tersinar. Majlis menandatangani Perjanjian Persetujuan (MoA) ini telah diadakan di Bilik Persidangan, Nuklear Malaysia dan telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Nuklear Malaysia, Dr. Rosli Darmawan danPengarah Syarikat Minda Wangsa Agro, En. Prakasrao Apparau.

Kerjasama  antara kedua-dua pihak ini melibatkan pembangunan sistem fertigasi yang dikawal menggunakan teknologi Internet of Things (IOT) dan penghasilan biokompos menggunakan kompleks mikrob berasaskan penggunaan sisa agro pertanian khususnya daripada sisa substrat cendawan. Menerusi perjanjian kerjasama ini, Nuklear Malaysia bakal memperkenal dan mempromosi aplikasi teknik teknologi nuklear bagi penghasilan kompos substrat yang diuraikan oleh fungus kepada industri makanan dan pertanian.

Turut serta di dalam majlis, Pengarah Bahagian Agroteknologi & Biosains, Ts. Dr. Azhar Mohamad, Pengurus Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC), Dr. Siti Najila Mohd Janib, pegawai penyelidik Nuklear Malaysia dan pihak pengurusan  Syarikat Minda Wangsa Berhad.

 

img

BANGI, 17 JAN 2024 : Timbalan Menteri Sains, Teknologi & Inovasi (MOSTI), Dato Haji Mohammad Yusof Apdal telah mengadakan lawatan kerja ke Nuklear Malaysia buat pertama kalinya selepas dilantik pada 13 Disember 2023 yang lalu. Semasa sesi lawatan kerja ini juga, Timbalan Menteri dan delegasi MOSTI telah diberikan taklimat berkaitan dengan fungsi serta peranan agensi ini oleh Ketua Pengarah Nuklear Malaysia, Dr. Rosli Darmawan.

 

Sesi taklimat dan interaksi yang telah berlangsung di Dewan Persidangan Blok 11, Kompeks Bangi ini turut disertai oleh barisan pengurusan atasan serta pengarah bahagian Nuklear Malaysia. Pada sesi lawatan ini juga, Timbalan Menteri dibawa melawat ke ruang pameran yang diadakan di Galeri Kecemerlangan Nuklear Malaysia bagi melihat hasil penyelidikan yang dibangunakan oleh para penyelidik Nuklear Malaysia.

Warga kerja Agensi Nuklear Malaysia menyampaikan sekalung penghargaan dan terima kasih di atas lawatan Timbalan Menteri Sains.

img

BANGI, 16 JAN 2024: Agensi Nuklear Malaysia dan Alam Flora Environmental Solutions Sdn. Bhd. (AFES) telah menjalinkan kerjasama dalam menghasilkan minyak plastik menggunakan kaedah sinaran dan pembakaran tertutup sisa plastik domestik. Majlis pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) ini telah diadakan di Dewan Tun Dr. Ismail, Nuklear Malaysia.

MoU kerjasama penyelidikan yang dimeterai pada Ogos 2023 ini telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Nuklear Malaysia, Dr. Rosli  Darmawan dan Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Sdn. Bhd. merangkap Pengarah AFES, Dato' Mohd Zain Hassan. Turut hadir adalah barisan pengurusan atasan Nuklear Malaysia, pegawai penyelidik dan pihak pengurusan daripada Alam Flora Environmental Solutions Sdn. Bhd.

Ketua Pengarah Nuklear Malaysia dalam ucapannya turut berkata mengatakan bahawa Malaysia umumnya menyokong pembangunan lestari dalam mengimbangi pertumbuhan ekonomi dan pemeliharaan alam sekitar sejajar dengan matlamat Sasaran Pembangunan Lestari  oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Oleh itu, Malaysia telah membentuk 'Rangka Kerja Pelestarian Plastik Malaysia 2021-2030' yang merupakan satu usaha kerajaan dalam menangani pencemaran sisa plastik dan sekaligus memastikan kemakmuran ekonomi serta kesejahteraan sosial negara lebih terjamin.