post-image

NUKLEAR MALAYSIA - DBP TEROKAI KERJASAMA PENULISAN DAN PENERBITAN

KUALA LUMPUR, 29 Julai 2024: Delegasi Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) yang diketuai oleh Dr. Rosli  Darmawan, Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia telah mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) , Dr. Hazami Jahari. Sesi perbincangan ini telah berlangsung di Bilik Mesyuarat Lembaga Pengelola, Menara DBP Kuala Lumpur.

Pada sesi perbincangan ini, Dr. Rosli Darmawan telah menzahirkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada pihak DBP yang telah banyak membantu dan menyokong Nuklear Malaysia dalam penerbitan yang telah dihasilkan selama ini. Kerjasama di antara DBP dan Nuklear Malaysia yang telah terjalin sejak tahun 2010 sehingga kini telah berjaya menghasilkan sekurang-kurangnya 12 buah buku ilmiah berkaitan teknologi nuklear serta mengembangkan lagi peristilahan nuklear dan pelbagai artikel untuk bacaan umum.

Pada sesi ini juga, satu sesi pembentangan ringkas telah disampaikan oleh Puan Normazlin bin Ismail, Pegawai Penerbitan dari Bahagian Pengurusan Maklumat (BPM) berkaitan potensi kerjasama dalam bidang penerbitan yang boleh dijalinkan di antara Nuklear Malaysia dan DBP serta peluang kerjasama lain yang boleh diterokai.

Turut hadir ialah Dr. Muhammad Rawi bin Mohamed Zin, Timbalan Ketua Pengarah, Program Penyelidikan dan Pembangunan Teknologi, Cik Habibah Adnan, Pengarah Bahagian Pengurusan Maklumat, Dr. Reusmaazran bin Yusof, Editor Kanan dari Bahagian Teknologi Industri, Dr. Zaiton Binti Ahmad Ketua Editor dari Bahagian Agroteknologi dan Biosains serta pegawai lain daripada Nuklear Malaysia.

Perbincangan ini dijangka dapat mengukuhkan lagi hubungan kerjasama antara Nuklear Malaysia dan DBP, disamping dapat meneroka kolaborasi baharu secara bersama yang dapat memberikan nilai tambah antara kedua-dua pihak, terutamanya dalam menghasilkan lebih banyak penerbitan berkualiti tinggi dalam bidang sains dan teknologi nuklear.