
KESELAMATAN SIBER DAN PENGURUSAN MEDIA SOSIAL TERAS HBICT2025
BANGI, 8 Mei 2025: Bagi memastikan kesedaran dan kefahaman dalam menangani isu-isu ICT serta memberi kesedaran kepada peserta berkaitan kaedah untuk mengoptimakan penggunaan teknologi ICT sedia ada, Pusat Teknologi Maklumat (PTM), Bahagian Sokongan Teknikal, Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) telah menganjurkan Program Hari Bersama ICT Nuklear Malaysia Tahun 2025 (HBICT2025) di Dewan Tun Dr. Ismail, Blok 11 dengan tema "Celik Digital Pemangkin Nuklear Madani".
YBrs. Dr. Rosli, Ketua Pengarah Nuklear Malaysia dalam ucapan perasmiannya berkata, Revolusi Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dalam perkhidmatan awam telah wujud sejak penubuhan Koridor Raya Multimedia pada tahun 1996 dan ICT memainkan peranan penting dalam mewujudkan perkhidmatan kerajaan yang bersepadu bagi membolehkan rakyat berinteraksi.
Ujarnya lagi, apabila berlakunya revolusi maka akan wujud persekitaran dengan pelbagai cabaran yang akan menuntut sistem penyampaian perkhidmatan yang lebih inovatif dan dapat memenuhi jangkaan dan keperluan pelanggan dan pemegang taruh.
Antara pengisian utama program ini termasuklah ceramah berkenaan dasar keselamatan siber, taklimat pengurusan media sosial organisasi serta perkongsian Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai ancaman jenayah siber dan aplikasi internet benda (IoT) dalam penyelidikan dan pembangunan nuklear.
Turut hadir YBrs. Dr. Muhammad Rawi bin Mohamed, Timbalan Ketua Pengarah, Program Penyelidikan dan Pembangunan Teknologi, YBrs. Ts. Dr. Ishak bin Mansor, Timbalan Ketua Pengarah (Program Perkhidmatan Teknikal, YBrs. Dr. Mohamad Safuan bin Sulaiman, Pengurus Pusat Teknologi Maklumat dan Aplikasi (PTM) serta warga Nuklear Malaysia.