post-image

MALAYSIA SUMBANG KEPAKARAN NDT DALAM MISI PAKAR IAEA DI MYANMAR

MYANMAR, 2 Mei 2025 -Malaysia terus memperkukuh kedudukannya di arena antarabangsa melalui penglibatan aktif dalam inisiatif keselamatan infrastruktur global. Baru-baru ini, dua pakar dari Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia), iaitu YBrs. Dr. Mohd Noorul Ikhsan bin Mohamed dan Encik Nor Azreen bin Masenwat, telah menyertai Misi Pakar Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dalam bidang Ujian Tanpa Musnah (NDT). Misi ini berlangsung selama lima hari, bermula dari 28 April hingga 2 Mei 2025 di Myanmar.

Misi ini bertujuan untuk membantu Myanmar menilai kerosakan struktur akibat gempa bumi yang melanda negara tersebut pada 28 Mac 2025. Menerusi teknologi NDT, pemeriksaan dapat dilakukan tanpa merosakkan struktur sedia ada, sekali gus memastikan penilaian yang menyeluruh terhadap integriti dan keselamatan struktur tersebut untuk kegunaan jangka panjang.

Penyertaan Malaysia dalam misi ini menunjukkan kepakaran negara dalam teknologi NDT serta komitmen negara terhadap keselamatan infrastruktur di peringkat serantau dan global. Sebagai negara anggota aktif IAEA, Malaysia melalui Nuklear Malaysia terus memainkan peranan penting dalam membangunkan keupayaan teknikal dan memperkukuh rangkaian kerjasama antarabangsa dalam pengurusan bencana.

Misi di Myanmar ini turut mengukuhkan penglibatan Malaysia dalam pelbagai operasi bantuan teknikal IAEA, termasuk di Mexico (2017), Albania (2019), Lubnan (2021), Ecuador (2023), Turkiye (2024), dan Syria (2024). Ini membuktikan kesungguhan Malaysia dalam menyumbang kepakaran bagi keselamatan sejagat, khususnya dalam bidang kejuruteraan awam pasca-bencana.

Komitmen berterusan Nuklear Malaysia bukan sahaja memperkukuh kedudukan negara sebagai peneraju dalam teknologi NDT, tetapi juga memperlihatkan peranan strategik Malaysia sebagai rakan global yang dipercayai dalam memperkasa keselamatan struktur dan kelestarian infrastruktur di seluruh dunia.